Taman Yang Boleh Dimakan
Balkoni dan birai tingkap boleh dijadikan ruang untuk memulakan taman herba, khususnya jika anda tidak banyak pilihan.
Tidak perlu ada kebun untuk menuai hasil herba anda sendiri. Dengan sedikit perancangan dan imaginasi, anda pasti terkejut bagaimana pelbagai herba boleh hidup subur di ruang terhad yang anda miliki.
Walaupun kebanyakan tanaman herba memerlukan cahaya yang banyak namun terlalu banyak juga tidak berapa baik.
Jika balkoni anda menerima cahaya matahari sepanjang hari, sekatlah ia jika terlalu panas dengan menggunakan bidai buluh, misalnya.
Dalam pada itu, jika cahaya matahari tidak terkena terus kepada tanaman anda sekalipun, haba yang diserap oleh dinding konkrit masih boleh dibebaskan sepanjang hari.
Persekitaran seperti itu mungkin terlalu ekstrem untuk herba hidup dengan selesa.
Untuk menyelesaikan masalah ini anda boleh mencipta apa yang dipanggil iklim mikro iaitu menggunakan herba-herba yang lebih tahan lasak untuk mengubahsuai atau melindungi persekitaran supaya lebih sesuai dengan herba-herba yang lebih sensitif.
Taman Herba Di Balkoni
Ada banyak herba yang boleh anda tanam di dalam pasu di balkoni. Misalnya pandan, pokok kari, serai, cili, kunyit, halia, daun kesum dan pelbagai lagi.
Untuk mengelakkan radiasi haba dari dinding konkrit, tempatkan herba-herba yang lebih besar dan tahan lasak untuk melindungi herba-herba yang lebih kecil dan sensitif.
Bagaimanapun pastikan semuanya mendapat cahaya matahari yang mencukupi.
Pokok-pokok herba yang popular dan agak besar adalah seperti limau kasturi, pokok kari dan serai. Ada juga tanaman baru yang mula popular seperi epal vietnam dan ceri siam.
Kedua-dua tanaman ini mempunyai buah dan pasti akan menjadi kegemaran anak-anak.
Balkoni yang menghadap ke selatan atau utara mungkin mempunyai kelebihan dari segi penerimaan cahaya matahari.
Bagi herba-herba yang memang berasal dari kawasan tropika, ia tidak ada masalah. Tetapi jika anda menanam sesuatu yang berbeza, penjagaan lebih rapi mungkin diperlukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan